PERIBAHASA Melayu, seperti yang diperihalkan dalam siaran yang lalu, merupakan ungkapan yang terhasil daripada kebijaksanaan masyarakat Melayu silam menanggap hal-hal yang berlaku di persekitarannya. Mereka kemudiannya menyusun kata lalu terungkaplah ungkapan berbentuk kiasan yang menarik, indah, dan tinggi nilai estetikanya.
Seperti
yang dijelaskan lewat siaran yang lalu, kecuaian yang dilakukan oleh masyarakat
yang terkemudian telah menyebabkan ada peribahasa yang tidak diujarkan dengan
tepat sehingga ada peribahasa yang menyimpang daripada fenomena alam yang
dicermati oleh masyarakat Melayu silam seperti peribahasa “sepandai-pandai tupai
melompat, sesekali gawal juga”
itu.
Kesilapan
turut berlaku dalam pendokumentasian peribahasa, khususnya dalam kamus, sama
ada dalam kamus-kamus peribahasa ataupun dalam kamus-kamus bahasa seperti Kamus Dewan (KD) yang sehingga kini terus menjadi pegangan pengguna bahasa
Melayu. Usaha pihak penyusun KD ini
memasukkan peribahasa dalam entri tertentu wajar dipuji.
Walau
bagaimanapun, pendokumentasian peribahasa dalam KD itu tidak dapat lari daripada kesilapan. Saya menemukan beberapa
peribahasa yang tidak tepat dalam kamus itu. Kesilapan itu tentulah tidak
disengajakan, namun kesilapan itu sedikit banyak telah mencacatkan keindahan sesuatu
peribahasa, khususnya jika digunakan dalam penulisan atau ucapan.
Dalam
KDE3 dahulu, di bawah entri adat
(hlm 7), terdapat peribahasa “adat periuk
bergerak, adat lesung
berdedak”. Jelas bahawa perkataan bergerak pada peribahasa itu tidak
tepat. Alhamdulillah, dalam KDE4, kata bergerak yang salah itu telah
dibetulkan kepada perkataan yang selayaknya, iaitu berkerak lalu
menjadi “adat periuk berkerak, adat
lesung berdedak” (hlm 8).
Begitu
juga dengan peribahasa “orang habis besi
binasa, tukang
hembus penat sahaja” dalam KDE3
dahulu (hlm. 160). Kehadiran perkataan orang pada ungkapan itu jelas tidak tepat malah menimbulkan
rasa gerun pula! Alhamdulillah, dalam
KDE4, perkataan yang betul untuk
ungkapan itu, iaitu perkataan arang, telah menggantikan perkataan orang (hlm. 188).
Selanjutnya, dalam KDE3 dahulu, di bawah entri gamang (hlm. 364-365), terdapat peribahasa “orang penggamang mati jatuh, orang pending mati hanyut”. Jelas bahawa perkataan pending (sejenis perhiasan) pada peribahasa itu tidak tepat (bukan kata adjektif). Alhamdulillah, dalam KDE4, kata pending yang salah itu telah dibetulkan kepada perkataan yang betul, iaitu pendingin lalu diungkapkan sebagai “orang penggamang mati jatuh, orang pendingin mati hanyut” (hlm. 427-428).
Pada
entri air (KDE4) ini juga, ada
peribahasa “air dalam berenang (berkumbah), air dengkat bercebok”. Saya mencari maksud dengkat. Seperti perkataan bersibak, perkataan dengkat tidak wujud dalam KDE4.
Apabila merujuk kepada Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu (hlm. 5), saya temukan peribahasa “air dalam berenang (berkumbah),
air dangkal
bercebok”.
Terdapat
juga peribahasa “bermain air basah, bermain api letup” dalam entri air. Perkataan letup menjanggalkan
peribahasa itu kerana tidak menggambarkan akibat yang ditanggung oleh manusia
seperti pada ungkapan awalnya – bermain
air basah. Saya merujuk kepada Kamus
Istimewa Peribahasa Melayu lalu menemukan peribahasa “bermain air basah, bermain
api letur, bermain pisau luka” (hlm. 41). Perkataan letur bermaksud “lecur”.
Beberapa
peribahasa pada entri anak turut memperlihatkan kesalahan.
Ungkapan pada peribahasa “bagai anak
sepat ke tohor”,
misalnya, tidak tepat kerana menggambarkan anak sepat pergi ke tempat
tohor walhal fenomena yang digambarkan oleh masyarakat Melayu silam ialah anak sepat
itu mengalami masalah ketohoran (air cetek). Anak sepat yang ketohoran bergerak dengan lemah gemalai. Ungkapan yang betul ialah “bagai anak sepat ketohoran” (lihat entri sepat, KDE4, hlm. 1459 dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, hlm. 16).
Maksudnya ialah “bermalas-malas di rumah orang”.
Peribahasa
“menggerek bagai anak
nangoi” pada entri anak (hlm 50) juga salah.
Sebagai maklumat, nangoi ialah “babi yang banyak anak” manakala menggerek
bermaksud “membuat lubang”. Ungkapan ini akan memperlihatkan perkaitan jika
perkataan menggerek ditukar kepada perkataan menggeriak (“berkerumun”)
menjadi “menggeriak bagai anak
nangoi” seperti pada entri nangoi (hlm. 1069) dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (hlm. 145).
Ungkapan pada peribahasa “tahan baji oleh keldai” di bawah
entri baji (KDE4, hlm. 110)
agak kelakar kerana jelas bahawa baji dan keldai tidak berkaitan untuk
menerbitkan kiasan yang bermaksud “bertemu lawan yang sepadan”. Ungkapan yang
tepat ialah “tahan baji oleh kelidai”.
Kelidai
ialah “sejenis kayu keras yang sukar dibelah” yang cocok dengan baji.
Peribahasa lain dalam KDE4
yang menerbitkan rasa lucu ialah peribahasa “menghijau tuah, najis keluar”
pada entri tuah (hlm. 1717). Jelas bahawa perkataan menghijau (“menjadi
hijau” atau “nampak hijau”) tidak cocok dengan ungkapan itu. Perkataan yang
betul bukan menghijau tetapi mengejan yang bermaksud “meneran”.
Sepatutnya peribahasa itu diungkapkan sebagai “mengejan tuah, najis keluar”.
Satu lagi peribahasa yang mengelirukan saya ialah
peribahasa “menohok sepeninggal ciling (entri tohok,
KDE4, hlm. 1702). Apakah ciling? Saya merujuki
beberapa kamus, namun tidak saya temukan perkataan ciling itu. Rupa-rupanya ciling
ialah kata dalam bahasa Jawa (sebenarnya disebut sebagai celeng) yang bermaksud “babi”.
Perkataan celeng ada dalam KDE4,
hlm. 258.
Akhir sekali, peribahasa “bagai padi
hendakkan dedak, bagai laki
hendakkan kendak” (entri dedak,
KDE4, hlm. 325) juga jelas salah. Peribahasa
berbentuk pantun dua kerat yang kuat berbau sindirian ini tergolong sebagai
pepatah, bukan perumpamaan. Perkataan bagai itu jelas tidak tepat
kerana perkataan yang betul ialah bagi lalu terungkaplah peribahasa “
bagi padi hendakkan dedak, bagi laki hendakkan kendak” bagi mendukung maksud “orang yang lebih menggemari yang
buruk daripada yang baik”.
Sebenarnya, ada lagi peribahasa lain yang tidak diungkapkan
dengan tepat, sama ada dalam KDE4 dan
kamus-kamus lain. Dalam konteks diri saya sendiri, saya bukan hendak mencari
kesalahan mana-mana pihak. Yang berlaku ialah, oleh sebab saya sering merujuk
kepada KDE4 dalam kerja-kerja saya, kesilapan yang menggangu saya ini
saya tandai. Walau bagaimanapun, saya bukanlah bermaksud untuk mengajak orang
meyakini saya. Mungkin saya sendiri yang salah dalam memahami
peribahasa-peribahasa itu. Setidak-tidaknya, huraian saya ini membuka mata kita
untuk membicarakannya.
Peribahasa ialah pusaka kita. Pusaka ini harus dikendalikan dengan baik, dipelihara
dengan cermat. Wallahua‘lam....