RAKAN PENGGEMAR

Friday, June 8, 2012

Peribahasa: Buah Fikiran Melayu Silam — Janganlah Dirosakkan

Peribahasa adalah antara harta bangsa Melayu yang paling besar nilainya. Menerusi ungkapan yang terjalin dalam peribahasa, dapat kita ketahui perihal akrabnya bangsa Melayu dengan alamnya dan betapa mereka begitu menghargai anugerah Allah SWT yang besar nilainya itu. Melalui peribahasa, dapat kita ketahui tahap kepekaan bangsa Melayu terhadap apa-apa yang ada dan semua yang menjadi peristiwa di sekelilingnya. Melalui peribahasa juga, dapat kita ketahui betapa sopan dan bertertibnya bangsa Melayu dalam menilai kehidupan bermasyarakat (yang kemudiannya diambil kesempatan/dimanipulasi oleh bangsa penjajah dan pendatang). Yang paling penting, peribahasa menyerlahkan kebijaksanaan bangsa Melayu dalam menanggapi seluruh aspek kehidupan.

Walau bagaimanapun, selepas melalui peredaran masa yang panjang dan ditokok pula oleh ketidakcermatan bangsa Melayu terkemudian dalam menuturkan peribahasa, kita dapati ada peribahasa yang tidak diujarkan dengan tepat. Hal ini berlaku demikian kerana umat Melayu yang terkemudian tidak sepeka masyarakat silam, tidak begitu akrab dengan unsur-unsur alam yang mengelilingi mereka, dsb. Sebagai contohnya, peribahasa “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga” diujarkan dan ditulis orang dengan meluas. Benarkah peribahasa itu diungkapkan demikian oleh masyarakat silam? Benarkah semua tupai, betapa pandai sekalipun melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah?

Hakikat yang sebenarnya bukan begitu. Tupai merupakan sejenis haiwan yang handal melompat. Tupai hanya akan jatuh kalau tersilap dalam lompatannya. Dalam erti kata yang lain, tupai jarang-jarang jatuh, kecuali sekali dua. Hakikat ini sangat disedari oleh masyarakat Melayu zaman silam. Oleh sebab itu, mustahil manusia yang teliti dan akrab dengan imej/unsur alam mengungkapkan peribahasa “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga”. Perkataan akhir pada peribahasa itu menggambarkan tupai mesti jatuh ke tanah. Sebenarnya, yang diungkapkan mereka ialah sepandai-pandai tupai melompat, sesekali gawal juga” (rujuk kepada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu). Untuk pengetahuan pembaca, peribahasa ini bermaksud “sepandai-pandai manusia, ada kalanya tersilap juga”.

Begitu juga halnya dengan peribahasa yang ada kaitannya dengan cili seperti “kecil-kecil cili melaka”, “siapa makan cili dialah berasa pedas” atau “kecil-kecil cili api, besar-besar limau abung”, dan “belum tahu dipedas cili”, dan sebagainya. Pada hemat saya, tidak mungkin orang Melayu silam mengungkapkan peribahasa itu demikian. Hal ini saya katakan demikian kerana perkataan cili itu bukan berasal daripada bahasa Melayu/Sanskrit melainkan daripada bahasa Eropah (Sepanyol, Portugis, atau Inggeris) yang datangnya ke alam Melayu ini agak baru. Saya berpandangan bahawa kewujudan perkataan cili dalam peribahasa itu berpunca daripada kesilapan yang sama dengan peribahasa berkaitan tupai tadi — ketidakcermatan bangsa Melayu terkemudian dalam menuturkan peribahasa.

Semua peribahasa itu, pada fikiran saya, diungkapkan sebagai “kecil-kecil cabai/lada melaka”, “siapa makan cabai/lada dialah berasa pedas” atau “kecil-kecil cabai/lada api, besar-besar limau abung”, dan “belum tahu dipedas cabai/lada”, dan seterusnya yang lain-lain juga.

Tidak tahulah pula saya jikalau ada yang berkata bahawa peribahasa ada evolusinya dan dengan demikian apa-apa perubahan pada peribahasa itu halal dilakukan. Jikalau demikian, rosaklah kemurnian buah fikiran bangsa kita menerusi kata-kata yang indah dan berkias itu.

No comments:

Post a Comment