RAKAN PENGGEMAR

Wednesday, June 13, 2012

Peribahasa Melayu: Nasibnya dalam Kamus

PERIBAHASA Melayu, seperti yang diperihalkan dalam siaran yang lalu, merupakan ungkapan yang terhasil daripada kebijaksanaan masyarakat Melayu silam menanggap hal-hal yang berlaku di persekitarannya. Mereka kemudiannya menyusun kata lalu terungkaplah ungkapan berbentuk kiasan yang menarik, indah, dan tinggi nilai estetikanya.

Seperti yang dijelaskan lewat siaran yang lalu, kecuaian yang dilakukan oleh masyarakat yang terkemudian telah menyebabkan ada peribahasa yang tidak diujarkan dengan tepat sehingga ada peribahasa yang menyimpang daripada fenomena alam yang dicermati oleh masyarakat Melayu silam seperti peribahasa “sepandai-pandai tupai melompatsesekali gawal juga” itu.

Kesilapan turut berlaku dalam pendokumentasian peribahasa, khususnya dalam kamus, sama ada dalam kamus-kamus peribahasa ataupun dalam kamus-kamus bahasa seperti Kamus Dewan (KD) yang sehingga kini terus menjadi pegangan pengguna bahasa Melayu. Usaha pihak penyusun KD ini memasukkan peribahasa dalam entri tertentu wajar dipuji.

Walau bagaimanapun, pendokumentasian peribahasa dalam KD itu tidak dapat lari daripada kesilapan. Saya menemukan beberapa peribahasa yang tidak tepat dalam kamus itu. Kesilapan itu tentulah tidak disengajakan, namun kesilapan itu sedikit banyak telah mencacatkan keindahan sesuatu peribahasa, khususnya jika digunakan dalam penulisan atau ucapan.

Dalam KDE3 dahulu, di bawah entri adat (hlm 7), terdapat peribahasa “adat periuk bergerak, adat lesung berdedak”. Jelas bahawa perkataan bergerak pada peribahasa itu tidak tepat. Alhamdulillah, dalam KDE4, kata bergerak yang salah itu telah dibetulkan kepada perkataan yang selayaknya, iaitu berkerak lalu menjadi “adat periuk berkerak, adat lesung berdedak” (hlm 8).

Begitu juga dengan peribahasa “orang habis besi binasa, tukang hembus penat sahaja” dalam KDE3 dahulu (hlm. 160). Kehadiran perkataan orang pada ungkapan itu jelas tidak tepat malah menimbulkan rasa gerun pula! Alhamdulillah, dalam KDE4, perkataan yang betul untuk ungkapan itu, iaitu perkataan arang, telah menggantikan perkataan orang (hlm. 188).

Selanjutnya, dalam KDE3 dahulu, di bawah entri gamang (hlm. 364-365), terdapat peribahasa “orang penggamang mati jatuh, orang pending mati hanyut”. Jelas bahawa perkataan pending (sejenis perhiasan) pada peribahasa itu tidak tepat (bukan kata adjektif). Alhamdulillah, dalam KDE4, kata pending yang salah itu telah dibetulkan kepada perkataan yang betul, iaitu pendingin lalu diungkapkan sebagai orang penggamang mati jatuhorang pendingin mati hanyut (hlm. 427-428).

Dalam KDE4, pada entri air disenaraikan peribahasa “air besar batu bersibak”. Saya ingin mengetahui makna perkataan bersibak, tetapi dalam kamus yang sama, tidak terdapat entri sibak yang menerbitkan kata bersibak itu. Yang ada ialah kata sebak (maksudnya saya ketahui) yang menerbitkan kata bersebak. Entri sebak ini ada menyenaraikan peribahasa yang sama.

Pada entri air (KDE4) ini juga, ada peribahasa “air dalam berenang (berkumbah), air dengkat bercebok”. Saya mencari maksud dengkat. Seperti perkataan bersibak, perkataan dengkat tidak wujud dalam KDE4. Apabila merujuk kepada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (hlm. 5), saya temukan peribahasa “air dalam berenang (berkumbah), air dangkal bercebok”.

Terdapat juga peribahasa “bermain air basah, bermain api letup” dalam entri air. Perkataan letup menjanggalkan peribahasa itu kerana tidak menggambarkan akibat yang ditanggung oleh manusia seperti pada ungkapan awalnya – bermain air basah. Saya merujuk kepada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu lalu menemukan peribahasa “bermain air basah, bermain api letur, bermain pisau luka” (hlm. 41). Perkataan letur bermaksud “lecur”.

Beberapa peribahasa pada entri anak turut memperlihatkan kesalahan. Ungkapan pada peribahasa “bagai anak sepat ke tohor”, misalnya, tidak tepat kerana menggambarkan anak sepat pergi ke tempat tohor walhal fenomena yang digambarkan oleh masyarakat Melayu silam ialah anak sepat itu mengalami masalah ketohoran (air cetek). Anak sepat yang ketohoran bergerak dengan lemah gemalai. Ungkapan yang betul ialah “bagai anak sepat ketohoran” (lihat entri sepat, KDE4, hlm. 1459 dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, hlm. 16). Maksudnya ialah “bermalas-malas di rumah orang”.

Peribahasa “menggerek bagai anak nangoi” pada entri anak (hlm 50) juga salah. Sebagai maklumat, nangoi ialah “babi yang banyak anak” manakala menggerek bermaksud “membuat lubang”. Ungkapan ini akan memperlihatkan perkaitan jika perkataan menggerek ditukar kepada perkataan menggeriak (“berkerumun”) menjadi “menggeriak bagai anak nangoi” seperti pada entri nangoi (hlm. 1069) dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (hlm. 145).

Ungkapan pada peribahasa “tahan baji oleh keldai” di bawah entri baji (KDE4, hlm. 110) agak kelakar kerana jelas bahawa baji dan keldai tidak berkaitan untuk menerbitkan kiasan yang bermaksud “bertemu lawan yang sepadan”. Ungkapan yang tepat ialah “tahan baji oleh kelidai”. Kelidai ialah “sejenis kayu keras yang sukar dibelah” yang cocok dengan baji.

Peribahasa lain dalam KDE4 yang menerbitkan rasa lucu ialah peribahasa “menghijau tuah, najis keluar” pada entri tuah (hlm. 1717). Jelas bahawa perkataan menghijau (“menjadi hijau” atau “nampak hijau”) tidak cocok dengan ungkapan itu. Perkataan yang betul bukan menghijau tetapi mengejan yang bermaksud “meneran”. Sepatutnya peribahasa itu diungkapkan sebagai “mengejan tuah, najis keluar”.

Satu lagi peribahasa yang mengelirukan saya ialah peribahasa “menohok sepeninggal ciling (entri tohok, KDE4, hlm. 1702). Apakah ciling? Saya merujuki beberapa kamus, namun tidak saya temukan perkataan ciling itu. Rupa-rupanya ciling ialah kata dalam bahasa Jawa (sebenarnya disebut sebagai celeng) yang bermaksud “babi”. Perkataan celeng ada dalam KDE4, hlm. 258.

Akhir sekali, peribahasa “bagai padi hendakkan dedak, bagai laki hendakkan kendak” (entri dedak, KDE4, hlm. 325) juga jelas salah. Peribahasa berbentuk pantun dua kerat yang kuat berbau sindirian ini tergolong sebagai pepatah, bukan perumpamaan. Perkataan bagai itu jelas tidak tepat kerana perkataan yang betul ialah bagi lalu terungkaplah peribahasa “ bagi padi hendakkan dedakbagi laki hendakkan kendak” bagi mendukung maksud “orang yang lebih menggemari yang buruk daripada yang baik”.

Sebenarnya, ada lagi peribahasa lain yang tidak diungkapkan dengan tepat, sama ada dalam KDE4 dan kamus-kamus lain. Dalam konteks diri saya sendiri, saya bukan hendak mencari kesalahan mana-mana pihak. Yang berlaku ialah, oleh sebab saya sering merujuk kepada KDE4 dalam kerja-kerja saya, kesilapan yang menggangu saya ini saya tandai. Walau bagaimanapun, saya bukanlah bermaksud untuk mengajak orang meyakini saya. Mungkin saya sendiri yang salah dalam memahami peribahasa-peribahasa itu. Setidak-tidaknya, huraian saya ini membuka mata kita untuk membicarakannya.

Peribahasa ialah pusaka kita. Pusaka ini harus dikendalikan dengan baik, dipelihara dengan cermat. Wallahua‘lam....

No comments:

Post a Comment